Anak Melayu Mesti Tahu! Meriam Melayu 'Lela Rentaka' Mampu Membedil Para Penjajah dari Negeri Barat

Rabu, 26 Januari 2022

Salah satu meriam Lela Rentaka yang terdapat di Muzium Warisan Melayu UPM.

BUALBUAL.com - LELA & RENTAKA – Meriam Melayu yang mampu membedil (Menembak) berulang kali sehingga digelar ‘a clumsy weapon’ oleh penjajah barat.

Siapa sangka teknologi persenjataan Melayu zaman dahulu mampu mencipta sepucuk meriam mudah alih dan boleh berpusing sehingga 360 darjah, memudahkan ia dihalakan ke sasaran.

Lela dan Rentaka merupakan senjata api (artileri) penting oleh pasukan tentera kesultanan Melayu dahulu. Istilah Lela merujuk kepada jenis meriam yang diperbuat daripada tembaga, manakala Rentaka diperbuat daripada besi.

Memandangkan saiznya kecil dan reka bentuk mudah alih, meriam Lela dan Rentaka merupakan artileri pilihan yang sangat membantu sewaktu peperangan di pesisir pantai di kepulauan Melayu. Selain itu, kapal-kapal Melayu turut dilengkapi senjata ini ketika peperangan jarak dekat dengan kapal-kapal penjajah Barat.

Senjata ini sering digunakan pada waktu malam ketika serangan hendap ke atas kapal-kapal besar yang melalui Selat Melaka. Manakala, para pejuang Melayu yang berani akan menyelinap masuk ke kapal musuh dan merampas kapal tersebut. Mereka dipercayai turut menggunakan  Lela dan Rentaka bersaiz kecil bagi memudahkan operasi rampasan kapal musuh.

Pada masa dahulu, senjata ini bukan sahaja merupakan senjata ampuh, malah turut memainkan peranan sebagai simbol kuasa.

Kebiasaannya, rumah orang-orang besar dihiasi meriam Lela dan Rentaka di pintu masuk, bagi menggambarkan kepentingan dan kuasa mereka.

Lela dan rentaka juga digunakan sebagai mata wang serta hantaran dalam perkahwinan, kerana nilainya yang tinggi ketika itu.

Lela dan Rentaka merupakan senjata yang dicipta oleh orang Melayu dan hanya digunakan oleh masyarakat di sekitar kepulauan Melayu sahaja seperti mana keris. Berdasarkan rujukan barat, mereka menyebut Lela dan Rentaka (southeast asian swivel gun) ini sebagai lantakas.

Lela dan Rentaka merupakan senjata api kaliber sederhana dan muatan hadapan (muzzle-loaded). Ukuran meriam ini selalunya bersaiz antara 50 sentimeter hingga dua meter panjang dengan diameter muncung antara satu sentimeter hingga sepuluh sentimeter.

Istimewanya, ia merupakan sejenis meriam mudah alih, bersaiz kecil dan ringan. Selain itu, ia turut dilengkapi pemegang khas pada bahagian atas laras bagi memudahkan senjata ini dibawa. Pada bahagian tapak pula juga dipasang cagak atau tenggekan bagi membolehkan meriam ini dipacakkan pada sesuatu permukaan rata dan dipusing-pusing hingga 360 darjah.

Senjata ini turut dilengkapi hiasan terperinci serta ukiran bermotif kemelayuan. Antaranya ialah motif pucuk rebung, awan larat, bunga seroja dan bentuk ikan lumba-lumba pada pemegang di bahagian atas laras meriam.

Meriam Lela dan Rentaka boleh didapati dalam pelbagai saiz dan ukuran, bergantung kepada kegunaannya, sama ada untuk dipasang pada bahagian atas benteng kota, belebas kapal, perahu atau di atas gajah perang.

Ia memerlukan antara dua atau tiga orang untuk mengoperasinya, dan boleh membedil berulang-ulang kali sehingga digelar ‘a clumsy weapon’ oleh penjajah barat.

Suatu masa dahulu, Lela dan Rentaka merupakan peralatan penting bagi kapal-kapal Melayu. Penggunaan lela dan rentaka sering disebut dalam teks lama, seperti yang disebut dalam petikan daripada teks ‘Sejarah Melayu’ karya Tun Seri Lanang.

Petikan ini merujuk ketika era pemerintahan Sultan Alau’d-Din di Johor, berkaitan sepuluh pucuk rentaka yang dipasang pada perahu rombongan diraja dan lapan pucuk pada setiap sisi perahu. Turut dinyatakan sebanyak 300 pucuk meriam telah dirampas di negeri Kopak.

Terdapat beberapa buah kawasan dilaporkan sebagai pengeluar meriam Lela dan Rentaka. Berdasarkan kajian sarjana Barat oleh W. Linehan berjudul Some Discoveries on the Tembeling membuktikan orang Melayu dahulu sudah mula pandai membuat senjata api sendiri. Ia berikutan penemuan acuan-acuan purba yang digunakan untuk membuat meriam yang dianggarkan seawal kurun ke-13 atau 14 di tebing Sungai Tembeling, Pahang.

Selain meriam, lokasi tersebut dipercayai pernah menjadi pusat pembuatan atau kilang senjata Melayu di sana. Selain di Pahang turut direkodkan beberapa tempat lain seperti Terengganu, Brunei, Sulu, Kampar, dan Sumatera.

Bagaimanapun, pemerintah Belanda dan British telah mengeluarkan arahan melarang penggunaan meriam-meriam atau senjata api kuno ini atas alasan keselamatan. Pada masa itu, hanya penggunaan senjata api buatan Eropah berlesen sahaja dibenarkan. Bagaimanapun, sehingga kini masih terdapat sebilangan kecil senjata-senjata tersebut yang masih tinggal untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.

Apabila kajian manuskrip dilakukan, terdapat pelbagai petua dan ilmu dalam menggunakan bedil meriam, Lela dan Rentaka, Istinggar, Terakol dan sebagainya. Kewujudan catatan bertulis ini secara tidak langsung membuktikan penggunaan senjata api yang meluas di kalangan pejuang-pejuang Melayu terdahulu.


Sumber: https://utusantv.com/2021/04/02/lela-rentaka-meriam-melayu-yang-mampu-membedil-berulang-kali-sehingga-digelar-a-clumsy-weapon-oleh-penjajah-barat/