Kamu Orang Bugis! Inilah Sejarah Suku Bugis Masuk ke Tanah Melayu Riau Indragiri Hilir 'Part II'

Senin, 02 Maret 2020

BUALBUAL.com - Sebagai masyarakat yang mempunyai kehandalan dalam ilmu pelayaran, masyarakat Bugis dapat bergerak ke seluruh pelusuk rantau Asia Tenggara. Kedatangan masyarakat Bugis ke Indragiri Hilir Riau atau ke Alam Melayu kemudiannya menjadikan kawasan-kawasan tersebut sebagai kawasan tumpuan perantauan mereka disebabkan oleh faktor dalaman dan faktor luaran. Penghijrahan yang disebabkan oleh kekurangan tanah, kekurangan sumber makanan atau kelebihan penduduk tidaklah menjadi faktor penentu dalam tradisi merantau masyarakat Bugis. Bahkan wilayah ini menghasilkan cukup banyak padi. Walaupun penghasilan padi memang tidak dapat dipertingkatkan disebabkan oleh pengairan yang terbatas – sebelum tahun 1930-an tidak ada pengairan di sana – namun pembangunan pengairan baru mulai betul-betul berkesan sesudah tahun 1965. Sekitar tahun 1930-an semua sawah di Sulawesi Selatan adalah sawah tadah hujan, yang sangat tergantung pada sifat musim hujan setiap tahun. Sekiranya hujan kurang maka penghasilan padi pun akan kurang. Keadaan ini barangkali menjadi lebih ketara sesudah penduduk mulai bertambah ramai dan sesudah semakin banyak hutan ditebang, yang mengakibatkan pengaliran air sungai menjadi kurang teratur. Meskipun keadaan pertanian dan petani memang kurang baik sejak dari dahulu namun ia bukanlah merupakan faktor pendorong yang kuat untuk penghijrahan penduduk. Buktinya, tanah yang termasuk paling tandus dan paling sedikit penghasilannya di Sulawesi Selatan yaitu Kabupaten Takalar dan Jeneponto hampir tidak ada penduduknya yang pergi merantau di tempat yang jauh. Sehubungan dengan itu apa sebenarnya yang menjadi faktor pendorong kepada masyarakat Bugis untuk pergi berhijrah? Faktor dalamam yang mempengaruhi puncak penghijrahan masyarakat Bugis ke luar adalah kerana keadaan politik yang tidak stabil. Sebelum Belanda memasuki ke pedalaman tanah Bugis, wilayah-wilayah itu sudah lama dalam keadaan kacau bilau. Tidak ada keamanan di tempat tinggal mereka menyebabkan kebanyakan kegiatan ekonomi mereka tidak dapat dijalankan. Di kalangan bangsawan-bangsawan Bugis sesama sendiri seringkali terjadi sengketa kerana masing-masing menganggap dirinya lebih berhak mewarisi suatu kerajaan atau pemerintah. Keadaan seumpama ini menyebabkan banyaknya berlaku pertumpahan darah, perang saudara dan peperangan antara daerah-daerah. Baca Juga: Kamu Orang Bugis! Inilah Sejarah Suku Bugis Masuk ke Tanah Melayu Riau Indragiri Hilir 'Part I' Pemuncak permusuhan antara Gowa dengan Bone dan meningkatnya ketegangan antara VOC dengan Gowa telah menyebabkan terjadinya perang Makassar. Pergolakan politik akibat daripada Perang Makassar tersebut telah menjadi faktor pendorong penghijrahan masyarakat Bugis ke luar dari Sulawesi Selatan. Pada pertengahan abad ke-17, Gowa menjadi salah satu kerajaan terkuat dan terbesar dalam sejarah Nusantara. Begitu tersohornya kekuatan dan kejayaan Gowa sehingga orang-orang di Indonesia Timur sukar mempercayai bahawa VOC berani menentang kekuasaan kerajaan Gowa. Namun kerjasama yang tidak disangka-sangka antara VOC dengan orang-orang Bugis yang merupakan musuh Gowa, mengakibatkan kerajaan Gowa tumpas di tangan pakatan bersekutu. Pada tahun 1669, Sombaopu, yaitu benteng ibu kota kerajaan Gowa yang sangat kuat dan yang menjadi simbol kemegahan kerajaan Gowa, jatuh ke tangan musuh. Setelah tumpasnya Gowa, pemimpin baru yang menerajui tampuk kekuasaan di Sulawesi Selatan ialah Arung Palaka yaitu pahlawan Bugis Bone-Soppeng berjaya mendominasi kekuasaan wilayah Sulawesi. Kesan pergolakan di Sulawesi Selatan yang melibatkan pihak Belanda dengan kerajaan tempatan ini telah memberi implikasi terhadap migrasi besar-besaran dalam masyarakat Bugis pada akhir abad ke-17. Perang Makassar telah meninggalkan kesan terhadap perkembangan tahun-tahun berikutnya. Pertikaian pendapat yang serius dalam kalangan bangsawan Kerajaan Gowa-Tallo, antara kelompok yang menginginkan perdamaian yang kemudian mengakibatkan berlakunya permbelotan dari kalangan pemimpin berpengaruh kerajaan tersebut. Pada November 1667 Perjanjian Bungaya di tandatangani oleh pihak yang berperang untuk mengakhiri perperangan yang berlaku. Pembahagian kuasa antara Arung Palakka dengan VOC telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat tempatan, sehingga mereka melancarkan pemberontakan, namun tidak berjaya. Kesan dari kegagalan ini juga menjadi faktor pendorong berlakunya migrasi besar-besaran di kalangan masyarakat Bugis dari Sulawesi Selatan. Pada akhir tahun 1670, dengan hancurnya Kota Tosara yang mengakibatkan keruntuhan kerajaan Bugis Wajo, juga telah menambahkan peningkatan arus penghijrahan dalam kalangan masyarakat Bugis dari Sulawesi Selatan. Sehubungan dengan itu bilangan perantauan orang Bugis Wajo selepas tahun 1670 menjadi lebih besar jika dibandingkan dengan kelompok lain di daerah-daerah lain di Makasar. Di samping itu setelah Perjanjian Bongaya dan setelah Belanda berjaya menundukkan Makassar, telah terjadi perubahan dalam bidang perdagangan. Belanda telah memperolehi hak monopoli dalam perniagaan di sana dan hal ini telah menutup peluang bagi orang-orang Eropah yang lain lalu mereka meninggalkan tempat tersebut. Berikut dengan itu berlakulah penyekatan kuasa Makassar ke atas bandar-bandar sekitarnya. Semua bandar dan kawasan yang berhampiran yang dahulunya hak Makassar telah menjadi hak kompeni Belanda. Kompeni Belanda ini juga mempunyai kuasa untuk meletakkan matawang Belanda menjadi wang yang sah diperlakukan di seluruh Sulawesi. Bermula dari sinilah berlakunya monopoli kuasa Belanda di Sulawesi Selatan. Selain itu, sesudah Belanda menduduki kawasan pedalaman tanah Bugis pada tahun 1906, mereka menguatkuasakan sistem cukai yang membebankan penduduk. Bahkan Belanda juga menerapkan sistem kerja paksa (rodi) suatu pekerjaan yang berat seperti kuli dan kadang-kadang membuat orang berada jauh dari rumah. Hal ini dianggap oleh masyarakat Bugis sebagai suatu penghinaan, lebih-lebih lagi oleh bangsawan rendah yang tidak dikecualikan dari kerahan itu. Mereka yang mendapat pengecualian kerahan hanya para bangsawan tinggi. Keadaan ini menyebabkan jiwa masyarakat Bugis memberontak kerana sejak dari dahulu lagi mereka memang bersifat merdeka. Mereka tidak pernah mau dijajah bahkan oleh bangsa sendiri. Oleh kerana situasi itu menyebabkan sebahagian orang Bugis keluar dari kampung halamannya pergi merantau ke kawasan Indonesia lainnya dan ke Alam Melayu. Kedatangan dan penghijrahan masyarakat Bugis ke Alam Melayu juga disebabkan oleh sifatnya yang suka mengembara atau merantau. Masyarakat Bugis sejak berabad-abad terkenal mempunyai jiwa perantau. Sifat seperti ini tergambar dalam karya agung Sastera Bugis iaitu rangkaian cerita yang dikenal dengan nama La Galigo yang antara lain menggambarkan pengembaraan tokoh mitos Bugis, Sawerigading, yang mengelilingi lautan dengan perahunya yang luar biasa Wakka tana WalinonoE. Sehubungan dengan itu sekurang-kurangnya mulai abad ke-16, peranan masyrakat Bugis dan Makasar dalam perdagangan maritim se-Nusantara menjadi makin penting. Bahkan dalam masyarakat Bugis juga ada istilah yang dikenal dengan ma’sompe’ yang bererti “berlayar” juga membawa makna merantau. Selain itu, siri dalam masyarakat Bugis juga merupakan salah satu faktor pendorong berlakunya merantau. Siri’ merupakan unsur teras dalam setiap individu Bugis. Tidak ada satu nilai yang berharga untuk dibela dan dipertahankan di muka bumi ini selain daripada siri’ kerana siri’ adalah jiwa, harga diri dan martabat mereka. Oleh itu setiap masyarakat Bugis mesti mempunyai siri’ dalam dirinya supaya ia dapat meneruskan hidupnya sebagai manusia yang dipandang baik dan mulia. Mattulada mengatakan: Siri’ emmi ri onroang ri lino, ertinya: hanya untuk siri’ itu sajalah kita hidup di dunia. Ungkapan ini mengandung erti siri’ sebagai yang memberi identiti sosial dan martabat kepada seseorang. Hanya kalau ada martabat dan harga diri, maka itulah hidup yang ada ertinya Siri’ juga membangkitkan semangat keberanian masyarakat Bugis terutama di kalangan kaum lelaki agar tidak mudah mengenal istilah mundur atau menyerah kalah dalam mengatasi setiap cabaran. Semangat inilah yang membakar jati diri lelaki Bugis sehingga menjadikan mereka sebagai pelayar yang handal dan berjaya mengembangkan kebudayaan maritimnya. Kepentingan siri’ sebagai pembangkit semangat keberanian kaum lelaki dapat difahami melalui ungkapan yang diistilahkan dengan siri’ masiri’. Konsep siri’ masiri’ bermaksud keadaan seseorang yang berasa aib akibat kesalahan sendiri atau nasib yang menimpanya. Selaku ketua keluarga pihak lelaki bertanggung jawab dalam menentukan masa depan dan nasib keluarganya. Pemulihan siri’ oleh orang yang merasa aib itu harus dilakukan dengan bekerja keras tanpa mudah menyerah kalah untuk merubah nasibnya menjadi lebih baik.[17] Hal inilah yang menjadi salah satu faktor pendorong utama masyarkat Bugis untuk pergi berhijrah atau merantau memperbaiki kehidupannya kerana dengan status ekonomi yang lebih baik seseorang dapat meningkatkan identiti sosialnya. Demi menegakkan siri’ di mata masyarakat, mereka memberikan pengorbanan terhadap apa yang dicintai, meninggalkan isteri, anak dan keluarga, kampong halaman dan lain-lain. Selain faktor dalaman tersebut terdapat juga faktor luaran sebagai faktor penarik dari Alam Melayu itu sendiri, terutama sejak Kerajaan Indragiri berdiri sekitar tahun 1298, raja pertama bergelar Raja Merlang I berkedudukan di Malaka. Penggantinya Raja Narasinga I dan Raja Merlang II juga di Melaka. Untuk urusan harian dilaksanakan oleh Datuk Patih atau Perdana Menteri. Pada tahun 1473, Raja Narasinga II, bergelar Paduka Maulana Sri Sultan Alauddin Iskandarsyah Johan Zirullah Fil Alam (Sultan Indragiri IV) menetap di ibu kota kerajaan di Pekan Tua sekarang. Pada 1815, Sultan Ibrahim memindahkan ibu kota kerajaan ke Indragiri Hulu Kabupaten Rengat. Masa pemerintahannya, Belanda mulai campur tangan dengan mengangkat Sultan Muda, berkedudukan di Peranap dengan batas wilayah ke Hilir sampai dengan batas Japura. Pada masa pemerintahan Sultan Isa, berdatanganlah orang-orang suku Banjar dan suku Bugis ke Indragiri akibat kurang amannya daerah asal mereka. Masyarakat Indragiri Hilir memohon kepada Menteri Dalam Negeri melalui Gubernur Riau, agar Indragiri diperluas wilayah kekuasaan menjadi Kabupaten Daerah Tingkat II berdiri sendiri (otonomi). Setelah melalui penelitian, oleh Gubernur Riau dan Departemen Dalam Negeri, perluasaan wilayah kekuasaan (otonomi) diawali dengan dikeluarkannya Surat Keputusan Gubernur Kepala Daerah Tingkat I Riau (Propinsi Riau) tertanggal 27 April 1965 nomor 052/5/1965 sebagai Daerah Persiapan Kabupaten Indragiri Hilir. Pada tarikh 14 Juni 1965 keluarlah Undang-undang nomor 6 tahun 1965 Lembaran Negara Republik Indonesia no. 49, Daerah Persiapan Kabupaten Indragiri Hilir resmi menjadi sebuah Kabupaten Daerah Tingkat II Indragiri Hilir (sekarang Kabupaten Indragiri Hilir) sebagai salah satu Kabupaten di Riau terhitung tanggal 20 November 1965. Sehubungan dengan itu jika diperhatikan semua alasan di atas, sebenarnya semua boleh dikaitkan dengan apa yang diungkapan oleh keturunan perantau-perantau Bugis: “di sana susah, di sini senang, di sana kerja lebih susah, di sini untung lebih banyak, di sana tidak ada peluang untuk menambah harta, di sini kita boleh menjadi kaya”. Sehubungan dengan itu, dapat dikatakan bahwa ada dua jenis alasan yang mendorong perantau-perantau masyarakat Bugis untuk meninggalkan kampung halamannya. Pertama; kerana mereka tidak merasa cocok atau tidak sesuai dengan keadaan yang mereka hadapi di negeri sendiri, yang berkaitan dengan pelbagai masalah peribadi, ekonomi dan lebih-lebih lagi masalah keamanan dan politik. Hal ini Nampak dengan nyata jika diperhatikan waktu paling ramai masyarakat Bugis berhijrah ke Alam Melayu yaitu pada masa kekacauan di akhir abad ke-19, pada awal pendudukan Belanda dan pada masa gerombolan (pemberontakan Kahar Muzakar) antara tahun 1949 dengan tahun 1965. Kedua; mereka meletakkan suatu harapan akan kehidupan yang lebih baik di negeri rantau. Faktor yang kedua ini berorientasikan ekonomi.(bersambung)   Sumber : Artikel (Rafiuddin Afkari Hj.Abdul Fattah)